SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap di atas gergaji enjin potong pokok di hadapan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Belakang Loji Air Syarikat Air Darul Aman (SADA) Durian Burung, Padang Terap, Kedah pada malam semalam..
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, mayat lelaki warga emas itu ditemui oleh penduduk kampung ketika melalui jalan terbabit pada jam 9.46 malam tadi.
Katanya, sebaik pihak polis menerima laporan dari Balai Polis Kota Putra sepasukan anggota dihantar ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
“Sebaik tiba kami menemui sebatang pokok tumbang melintasi jalan dan sebaik pemeriksaan lanjut menemui mangsa dalam keadaan terbaring di atas mesin pemotong pokok.
“Siasatan lanjut le atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan ataupun luka.
“Siasatan lanjut terhadap isteri mangsa, pihak polis dimaklumkan mangsa mempunyai sakit jantung dan kencing manis serta masih dalam rawatan,” katanya, lapor Astro AWANI.
Mangsa dikenal pasti Abdullah Ariffin, 68, berasal dari Hutan Kampung, Alor Setar itu dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat warga emas itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.