LETUSAN gunung berapi lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Ahad lalu, bukan petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku di Sabah.
Salah faham mengenai ‘gunung berapi’ itu dijelaskan dua Felo Penyelidik Geologi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Hardianshah Saleh dan Prof Dr Baba Musta, bagi menjawab pelbagai pertanyaan awam berhubung fenomena itu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, penyelidik geologi UMS itu berkata, letusan gunung berapi lumpur atau volkano lumpur adalah fenomena yang biasa berlaku di Sabah dan kewujudannya boleh ditemui di beberapa kawasan di negeri ini.
“Namun, apa yang lebih penting adalah fenomena volkano lumpur bukanlah suatu petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku pada masa terdekat,” katanya.
Berdasarkan peta lokasi volkano lumpur yang dikongsikan NDRC, selain di Tabin, Lahad Datu, kewujudan gunung berapi lumpur juga ditemui di beberapa tempat di Sandakan dan Kunak di pantai timur, manakala di daerah Kuala Penyu bagi kawasan pantai barat.
Secara geologinya, kedua-dua penyelidik itu menerangkan, volkano lumpur bukanlah fenomena yang sama dengan volkano atau letusan gunung berapi.
“Walaupun istilah ‘volkano’ secara terjemahannya adalah letusan gunung berapi, volkano lumpur ini jauh sekali daripada memuntahkan bahan cairan lava seperti letusan gunung berapi yang umum ketahui.
“Volkano lumpur hanya ‘meminjam’ istilah volkano untuk menjelaskan mekanisme bahan lumpur yang dipaksa keluar daripada bawah tanah untuk ke permukaan,” katanya.
Mereka menjelaskan, fenomena itu terjadi disebabkan tekanan beban atas (overburden pressure) terhadap lapisan kaya dengan bahan lumpur, yang terbentuk jauh di bawah permukaan tanah.
Tekanan itu, katanya, memaksa bahan lumpur dalam bentuk cecair bersama gas metana keluar ke permukaan bumi menerusi sesar, retakan atau zon lemah pada batuan.
Bagi kawasan Lahad Datu, mereka berkata, zon sesar atau lemah terdiri daripada batuan hancur atau istilah geologinya dikenali sebagai ‘melange’.
“Fenomena ini juga sering kali dirujuk sebagai diapir lumpur (Mud diapir) yang mempunyai mekanisme sama, namun tidak memuntahkan lumpur sehingga ke permukaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah NDRC UMS, Prof Madya Dr Carolyn Melissa Payus, berkata penerangan yang lebih jelas dan saintifik mengenai fenomena itu penting, terutama daripada pusat penyelidikan seperti NDRC bagi mengelak kebimbangan pihak awam.
Katanya, NDRC, UMS, giat melaksanakan aktiviti memberi penjelasan dan pendidikan kepada umum, termasuk selepas bencana gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015.
“NDRC bukan setakat sebagai pusat rujukan untuk orang awam, tetapi juga sebagai ‘focal point’ untuk penyelidikan yang berkait dengan Sains Alam Sekitar dan Bencana serta Pengurusannya, terutamanya di Sabah,” katanya.
Klip video berdurasi kira-kira 10 saat yang memaparkan letusan gunung berapi lumpur di Tabin, Lahad Datu, tular di laman sosial beberapa hari lalu, sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum.
Ramai warga maya yang beranggapan fenomena itu berkait secara langsung dengan letusan gunung berapi, yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa, selain mengaitkannya dengan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di luar negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.