[VIDEO] Cermin yang sepatutnya dilihat Shahril Hamdan

0
466

Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

APABILA Tan Sri Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri telah gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan, meminta Tan Sri Muhyiddin supaya cermin diri sendiri.

Baiklah, mari saya tunjukkan cerminnya.

Ada dua cermin. Satu untuk Tan Sri Muhyiddin dan satu lagi untuk Perdana Menteri.

Cerminnya ialah approval rating atau tahap kepuasan hati rakyat terhadap kedua-dua pemimpin ini yang didapati melalui kajian sentimen rakyat yang dijalankan secara saintifik. Approval rating ini ibarat ‘markah’ yang diperolehi oleh kedua-dua pemimpin yang menentukan samada mereka lulus atau gagal sebagai Perdana Menteri.

Mari kita lihat approval rating Tan Sri Muhyiddin.

Menurut kajian Merdeka Centre for Opinion Research, 72% rakyat berpuashati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin pada bulan Mei 2020, 74% (Julai 2020), 73% (September 2020), 67% (November 2020), 63% (Januari 2021) 68% (April 2021) dan 57% (Jun 2021). Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan pada bulan Ogos 2021.

‘Markah’ purata Tan Sri Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri ialah 67%. Ini adalah markah lulus dengan baik.

Tan Sri Muhyiddin lulus dengan baik sebagai Perdana Menteri walaupun pada ketika itu beliau memimpin negara mengharungi krisis kesihatan yang paling buruk dalam sejarah negara dan dunia, iaitu Covid-19.

Beliau juga diasak dengan begitu teruk oleh musuh di luar dan di dalam selimut yang menyerang hendap beliau siang dan malam dengan tuduhan pengkhianat, kerajaan gagal, kempen bendera putih dan lain-lain lagi.

Antara yang paling kuat menyerang hendap Tan Sri Muhyiddin ialah orang-orang dari parti Umno iaitu parti Shahril Hamdan sendiri. Turut bersekongkol ialah para pendendam dari parti Pakatan Harapan.

Tetapi di sebalik semua tekanan, cercaan dan cacian orang-orang ini, Tan Sri Muhyiddin mendapat ‘markah’ lulus yang baik daripada rakyat. Alhamdulillah.

Ini ‘cermin’ Tan Sri Muhyiddin.

Sekarang mari kita lihat ‘cermin’ Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pula.

Beliau bermula dengan tahap kepuasan hati rakyat sebanyak 50% pada bulan Oktober 2021, 48% (Disember 2021), 49% (Mac 2022), 48% (April 2022), 40% (Jun 2022) dan 35% (Ogos 2022). ‘Markah’ atau approval rating Perdana Menteri telah menurun secara konsisten dengan purata 45%.

Tanpa niat untuk menjatuhkan air muka Perdana Menteri, markah di bawah paras 50% ini adalah markah gagal. Beliau mendapat markah gagal secara konsisten sejak awal tahun ini.

Berdasarkan data inilah Tan Sri Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri gagal. Ini adalah penilaian oleh rakyat yang diperolehi menerusi kajian saintifik, bukan tuduhan melulu.

Tetapi Perdana Menteri berkata “kalau saya gagal sebagai Perdana Menteri, awak pun gagal sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara”.

Ini tidak betul. Majlis Pemulihan Negara tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara. Ia adalah sebuah majlis yang bersifat advisory. Kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara terletak pada kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Perdana Menteri mendapat markah gagal dalam keadaan beliau senang-lenang. Kes-kes Covid-19 tidak menggila seperti dulu, kehidupan rakyat kembali normal seperti biasa, ekonomi telah dibuka, sempadan negara telah dibuka dan politik pun stabil, kecuali gangguan suara-suara sumbang sekali-sekala dari Kluster Mahkamah dalam parti Umno yang mahukan pilihanraya diadakan segera.

Parti BERSATU tidak pernah menghentam Perdana Menteri, apalagi menjalankan kempen Kerajaan Gagal sepertimana yang dibuat oleh parti Umno terhadap Tan Sri Muhyiddin dahulu.

Parti DAP, PKR dan Amanah pun amat lunak hubungannya dengan Perdana Menteri. Mereka terlebih dahulu bangkit mempertahankan Perdana Menteri apabila diserang oleh Kluster Mahkamah.

Dalam perkataan lain, Dato’ Sri Ismail Sabri can sit pretty as a Prime Minister.

Kenapa dalam keadaan senang-lenang ini pun ‘markah’ Perdana Menteri amat buruk? Saya tiada jawapan kepada soalan ini.

Namun, kesimpulan yang boleh dibuat ialah, semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, kempen kerajaan gagal digerakkan dengan hebat oleh musuh-musuh politik beliau tetapi beliau dinilai lulus dengan baik oleh rakyat.

Sebaliknya, sepanjang Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, tiada kempen kerajaan gagal digerakkan oleh sesiapapun tetapi beliau dinilai gagal oleh rakyat.

Inilah cermin yang patut dilihat oleh Shahril Hamdan.

Penulis adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here