RM843 juta dana 1MDB ‘dicuci’ dalam perusahaan minyak di Venezuela – Pendakwaan

0
218

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa sebahagian daripada AS$340 juta (RM1.54 bilion) dana 1MDB disalurkan ke perusahaan penerokaan dan cari gali minyak melibatkan entiti yang dikaitkan dengan Petrosaudi International Limited (PSI) dan kerajaan Venezuela.

Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan pendakwa raya, Norinna Bahadun membuat hujahan lisan hari ini pada perbicaraan melibatkan tindakan undang-undang oleh kerajaan yang melarang PSI dan beberapa pihak lagi daripada menggunakan dana yang dipercayai berada dalam akaun yang diuruskan firma guaman di United Kingdom (UK), Clyde & Co LLP.

Permohonan bagi perintah larangan itu menyasarkan PSI, pengarahnya Tarek Obaid, Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Diperbadankan di Barbados) (juga dikenali sebagai PSOSL), Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services Limited yang berpangkalan di UK.

PSOSL ialah anak syarikat PSI.

DPP menegaskan daripada berjuta-juta dolar AS yang ‘dicuci’ daripada dana 1MDB pada 2009, sekitar AS$185 juta (RM843 juta) digunakan oleh PSOSL bagi perusahaan minyak dengan Venezuela pada tahun 2010.

Sebelum ini, pihak pendakwaan mendakwa pengubahan wang haram itu bermula apabila AS$700 juta (RM3.1 bilion) daripada AS$1 bilion (RM4.56 billion) untuk usaha sama antara 1MDB dan PSI telah dimasukkan ke akaun Good Star Limited yang diperbadankan di Seychelles.

Good Star didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho (Jho Low), yang didakwa pihak pendakwaan telah mengatur penyelewengan dana daripada 1MDB dengan kuasa bekas perdana menteri, Najib Razak.

Hujah ini dibangkitkan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan rasuah terhadap Najib membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion (10.39bilion) dana 1MDB.

Norinna hari ini berhujah bahawa AS$185 juta (RM843 juta) daripada dana 1MDB diterima oleh PSOSL, yang menggunakan sebahagian daripadanya untuk membeli kapal gerudi Discoverer sebagai sebahagian daripada usaha sama minyak dengan Petroleos de Venezuela SA (PDVSA), iaitu syarikat minyak milik negara Venezuela.

“Kami telah melihat dalam pertimbangan PDVSA dalam minit mereka, kami telah melihat ini dalam kontrak penggerudian, kami telah melihat ini dalam memorandum produk dalam mencari dana untuk bon, dan kami telah melihat ini dalam perjanjian bon global itu sendiri dan kita tahu asal usul wang PSOSL asalnya dana 1MDB,” kata Norinna.

Prosiding di hadapan pesuruhjaya kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh disambung petang ini.

Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek yang merupakan seorang warga Arab Saudi, manakala Alex Tan mewakili PSI, PSOSL, dan Temple Fiduciary Services.

Clyde & Co bagaimanapun tidak diwakili peguam.

kerajaan Malaysia memfailkan tindakan undang-undang pada 14 Julai 2020, dengan mendakwa bahawa jumlah keseluruhan AS$340,258,246,87 di Clyde & Co adalah daripada pengubahan wang haram.

Tindakan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

Menurut Jabatan Kehakiman AS, usaha sama itu didakwa menjadi platform untuk menyedut dana 1MDB.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta dalam kes rasuah melibatkan SRC International berjumlah RM42 juta.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya dipindahkan ke Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here