Ringgit jatuh: Jangan sampai terpaksa catu makanan

0
364

Oleh Profesor Dr. Fatimah Kari

NILAI RM63 billion adalah tinggi dan bakal memberi kesan yang mendalam dari segi harga dan “availability” bahan makanan negara. Dalam jangka pendek, harga akan digunakan sebagai “instrumen” untuk mengumbangi tekanan permintaan dan penawaran.

Dengan itu, peningkatan harga makanan dalam jangka pendek merupakan beban yang perlu ditanggung oleh rakyat. Sekiranya tekanan dari segi kejatuhan ringgit berterusan, besar kemungkinan negara hanya dapat membeli makanan asas sahaja (beras, daging, sayur) dan membiarkan makanan mewah dihadkan dari segi bilangan yang boleh diimport. Pilihan dasar seumpama ini akan menyulitkan keadaan, tetapi ini merupakan senario yang boleh berlaku sekiranya nilai ringgit terus merudum.

Kita berharap kedudukan ini tidak akan menyebabkan negara terpaksa melakukan catuan makanan sekiranya bahan makanan yang dimport semakin menjadi mahal akibat kejatuhan nilai ringgit yang berterusan. Kita sangat berharap agar bekalan dari pengeluar tempatan akan dapat mengimbangi keperluan dalam negeri dan ini merupakan penyelesaian jangka panjang yang mesti diutamakan.

Pendekatan menghadapi krisis ringgit serta harga makanan yang tinggi tidak seharusnya dilakuka secara  “berkala” dan hanya bertindak apabila berlakunya kekurangan bekalan yang kritial pada sesuatu masa. Usaha membina langkah jangka  masa panjang yang melibatkan usaha mempertahankan nilai ringgit serta meningkat keperluan dan bekalan makanan negara mestilah dilaksanakan dan dipantau dengan baik.

Cari kaedah sokong nilai ringgit

Meskipun hubungan nilai ringgit dan kos harga makanan berkait rapat, menyelesaikan dan mencari cara dan kaedah untuk menyokong nilai ringgit bukan sahaja dapat meringankan bilangan import makanan yang tinggi, tetapi juga mengatasi masalah lain dalam konteks pemulihan ekonomi negara. Contohnya, bila nilai ringgit mampu distabilkan, maka tekanan dan keperluan untuk meningkatkan kadar faedah (OPR) akan dapat dielakkan.

Dengan sendirinya, kos modal yang rendah disebabkan  kadar faedah yang rendah akan dapat merancakan pelaburan dalam negeri. Sekiranya kawalan seperti tahun 1997 tidak dapat dilakukan (pegging of the ringgit), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat-syarikat Konglomerat Malaysia di luar patut bersedia untuk membawa balik pulangan pelaburan dengan membeli ringgit sebagai langkah menyokong nilai ringgit.

Begitu juga usaha untuk mempertingkatkan dagangan asing antara negara yang tidak didominasi dalam nilai dollar Amerika. Berkaitan itu, strategi perdagangan “barter trade” pernah dilakukan dan ini mungkin satu pilihan meskipun agak sulit untuk dilakukan.

MOF perlu berani terus terang, jangan urus ekonomi perbankan semata-mata

Kementerian Kewangan (MOF) mesti berani dan berterus terang dalam menjelaskan kesan setiap dasar dan strategi yang dilakukan. Nilai ringgit yang merudum mempengaruhi setiap aspek kehidupan rakyat serta setiap sektor ekonomi yang ada.

Data serta retorik yang dimainkan oleh MOF sangat tersasar jauh dari realiti yang dihadapi oleh rakyat. Memang ada sektor ekonomi yang meraih faedah dari peningkatan kadar faedah serta kejatuhan nilai ringgit. Contohnya, sektor kewangan dan perbankan yang meraih keuntungan dari kedudukan yang sedia ada.

MOF perlu juga mengurus ekonomi rakyat dan bukan hanya mengurus ekonomi perbankan.

Kesediaan MOF, BNM hadapi ringgit jatuh perlu usaha serius, konsisten dan terbuka

Krisis inflasi/kos import yang tinggi dan kejatuhan ringgit adalah masalah dua serangkai yang kompleks. Perlu diingat terdapat juga aspek spekulatif dalam pasaran matawang antarabangsa. Kesediaan BNM dan MOF dalam menghadapi risiko spekulasi serta kejatuhan nilai ringgit memerlukan usaha yang serius , konsisten dan terbuka.

Sepatutnya MOF menggunakan kaedah komunikasi yang lebih terbuka dari segi data dan strategi yang digunakan. Golongan yang mempunyai kefahaman teknikal akan dapat memberi pandangan serta saranan /maklum balas ke atas perkembangan semasa.

Apakah negara berada dalam “crisis mode” atau BNM /MOF memaksa diri sendiri untuk berada dalam  “feel good factor” kerana kita akan menghadapi pilihan raya?


Profesor Dr. Fatimah Kari merupakan pakar ekonomi Universiti Malaya.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here