Muda belum ada pelan alternatif jika permohonan sertai PH ditolak

0
224

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih tidak mempunyai sebarang pelan alternatif sekiranya Pakatan Harapan (PH) menolak permohonan Muda untuk menyertai gabungan tersebut.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini termasuk bergerak secara solo atau menyertai gabungan politik lain.

“Isu ini bukan isu kecil kerana kita bukan mahu bekerjasama untuk PRU sahaja tetapi bekerjasama dengan komponen PH. Jadi sekiranya tidak diterima Biro Politik dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda perlu duduk semeja kembali untuk membincangkan jalan ke hadapan.

“Tetapi apa yang paling penting bagi saya sekiranya tidak dapat masuk komponen PH, harapnya kita dapat lagi membincangkan jalan supaya tidak ada pertindihan kerusi dan sebagainya, ini pandangan peribadi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dipanggil memberi keterangan berkenaan penyertaan dalam perhimpunan kerajaan gagal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di Larki, Johor Bahru, hari ini.

Ditanya sekiranya Muda tidak diberikan 15 kerusi yang dimohon sebelum ini, beliau berkata, semua itu terpulang kepada rundingan dengan PH dan pihaknya nanti akan menerima dengan hati terbuka.

Namun katanya, kerusi utama yang akan menjadi pilihan Muda ialah Parlimen Muar yang kini disandang Presiden parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala selebihnya menyasarkan kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, beliau berkata, pegawai dan kakitangan kerajaaan adalah yang paling terkesan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap diadakan semasa musim banjir.

Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, ini kerana mereka perlu bertugas dan melakukan dua kerja iaitu semasa banjir dan PRU15 sekali gus akan membebankan mereka.

“Kalau kita buat juga PRU semasa banjir, pegawai dan kakitangan kerajaan akan paling terjejas kerana mereka perlu melakukan dua kerja iaitu banjir dan juga kempen PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dipanggil memberi keterangan berkenaan penyertaan dalam perhimpunan kerajaan gagal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini pada Selasa.

Katanya, jika PRU15 diadakan juga, rakyat akan sengsara dan dalam hal ini kerajaan boleh merujuk semula kerosakan dan kerugian akibat banjir pada tahun lalu.

“Kalau kita lihat banjir tahun lepas lebih 70,000 terjejas dan lebih 50 rakyat meninggal dunia selain kerajaan rugi RM5.6 bilion. Itu jumlah yang sangat besar,” katanya.

Justeru kata Amira Aisya, masa terbaik untuk mengadakan PRU-15 adalah selepas banjir besar yang diramal berlaku pada hujung tahun ini.

Menurutnya, semua pihak sama ada parti pembangkang atau kerajaan perlu duduk semeja untuk membincangkan cara dan kaedah menghadapi banjir dan selepas musibah itu selesai barulah fokus semula kepada PRU-15.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa berucap sempena pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022, membayangkan PRU15 akan diadakan sedikit masa lagi dan perkara itu akan dibincangkan dengan ‘top 5’ UMNO.

Susulan itu pada hari yang sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here