Ratu Elizabeth II disemadikan

0
313

UPACARA pengebumian negara untuk Ratu Britain Ratu Elizabeth II berlangsung pada Isnin di Westminster Abbey – bangunan tempat dia berkahwin dan kemudian dinobatkan sebagai Ratu.

Kerandanya dibawa untuk perjalanan terakhir melalui London dan Istana Windsor untuk upacara bersejarah yang kali pertama disiarkan menerusi televisyen.

Selama dua minit semuanya senyap bagi mengenang Permaisuri semasa pengebumiannya di Westminster Abbey, yang berakhir dengan “God Save the King”, lagu kebangsaan yang dinyanyikan semula selepas anaknya, Charles diangkat sebagai Raja Britain.

Terdahulu, pada pengebumian itu, Uskup Agung Canterbury Justin Welby memuji kehidupan Ratu Elizabeth II dalam tugas dan perkhidmatan kepada United Kingdom (UK) dan Komanwel.

“Orang yang penuh kasih sayang jarang berlaku dalam mana-mana lapisan masyarakat. Pemimpin yang berkhidmat dengan penuh kasih sayang.

“Tetapi dalam semua keadaan mereka yang berkhidmat akan disayangi dan diingati manakala mereka yang berpegang kepada kuasa dan mementingkan diri dilupakan,” katanya dalam khutbah pengebumian itu.

Keranda Ratu telah dibawa ke Westminster Abbey dari Westminster Hall sejurus sebelum upacara pengebumian bermula pada jam 11 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia).

Anaknya, Raja Charles III dan kerabat diraja Britain yang lain mengikuti keranda ke Westminster Abbey, menyertai pemimpin dunia dan raja-raja untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Ratu paling lama memerintah Britain iaitu selama 70 tahun.

Upacara untuk Ratu Elizabeth II adalah pengebumian pertama di negara itu sejak 1965, apabila Winston Churchill diberikan penghormatan terakhir.

Berpuluh-puluh ribu orang berbaris di jalan-jalan ketika keranda Ratu membuat perjalanan singkat dari Westminster Hall tempat dia dibaringkan, ditarik bersama-sama dengan gerabak senjata oleh 142 kelasi.

Kesunyianmenyelubungi Hyde Park di London ketika beribu-ribu orang, yang selama berjam-jam beristirahat, diam sebaik keranda Ratu muncul pada skrin besar yang dipasang di taman itu.

Kira-kira 2,000 orang kenamaan, termasuk 500 pemimpin dunia dan keluarga diraja asing turut hadir pada upacara itu.

Pemimpin dunia dan kenamaan yang turut hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden; Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau; Presiden Perancis Emmanuel Macron; Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern; dan Presiden Singapura Halimah Yacob.

Ratu Elizabeth meninggal dunia pada 8 September di rumah musim panasnya di Istana Balmoral, Scotland.

Kesihatannya telah merosot, dan selama berbulan-bulan Ratu Elizabeth telah menarik diri daripada kehidupan awam.

Bagaimanapun, selaras dengan tanggungjawabnya, dia dirakamkan hanya dua hari sebelum meninggal dunia, kelihatan lemah tetapi tersenyum dan memegang tongkat ketika melantik Liz Truss sebagai Perdana Menteri ke-15 Britain dan terakhir buatnya. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here