POLIS sudah merujuk dua kertas siasatan membabitkan pendakwah selebriti berusia 40-an yang ditahan reman berkaitan kes amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki kepada timbalan pendakwa raya.
Sumber berkata, dua kertas siasatan itu membabitkan laporan yang dibuat mangsa di Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya, tempoh reman ke atas pendakwah selebriti berkenaan di Negeri Sembilan juga sudah tamat kelmarin.
“Setakat ini, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan empat di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan satu di Kuala Lumpur.
“Semua mangsa yang membuat laporan membabitkan remaja lelaki berusia antara 16 hingga 18 tahun,” katanya memetik laporan BH Online.
Sebelum ini, media melaporkan seorang selebriti lelaki ditahan polis untuk membantu siasatan kes melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur, dipercayai selepas berkenalan dengan mangsa melalui program motivasi di sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilapor berkata pihaknya setakat ini menerima empat laporan iaitu dua di Klang Selatan, serta masing-masing satu di Shah Alam dan Kajang berhubung kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.