Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Inap desa dihempap pokok tumbang, 11 penghuni berdepan detik cemas -

Inap desa dihempap pokok tumbang, 11 penghuni berdepan detik cemas

SEBELAS ahli keluarga berdepan detik mendebarkan apabila inap desa yang dihuni mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku di sini pukul 4 pagi tadi.

Mohd Syafiq Hamdan, 35, yang datang dari Johor Bahru untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit berkata beliau tiba ke Homestay Seri Telok Mas itu pada 4 petang semalam.

“Pada mulanya saya ingat orang ketuk pintu sebab sebelum itu memang angin kuat berserta guruh dan hujan lebat sekitar 3.30 pagi. Saya keluar untuk lihat keadaan tapi tiada apa-apa.

“Tapi tidak lama kemudian, sekitar 4 pagi, saya dengar dentuman kuat dari atas. Rupanya sebatang pokok tumbang dan menghempap bumbung depan termasuk garaj,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Seri Telok Mas, di sini hari ini.

Mohd Syafiq berkata beliau bersyukur tiada kecederaan atau kerosakan yang dialami oleh ahli keluarganya kecuali cermin sisi kereta seorang daripada ahli keluarganya pecah. 

Sementara itu seorang lagi mangsa, Mohamad Rizuan Zainal Abidin, 39, berkata beliau yang ketika itu sudah bangun untuk menyiapkan keperluan meniaganya, reda dengan kejadian itu dan bersyukur kerana isteri dan empat anaknya selamat.

“Selain bahagian garaj dan ruang tamu terjejas, kereta juga rosak akibat terkena ranting dan dahan pokok yang patah,” katanya yang menyewa rumah di kawasan itu lebih setahun lepas.

Dalam kejadian 4 pagi pagi tadi, sebanyak empat rumah termasuk sebuah inap desa melibatkan lima keluarga dengan 20 penghuni di Taman Seri Telok Mas terjejas teruk apabila dihempap pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan ribut.

Tiada mangsa yang dilaporkan cedera manakala kerja-kerja membersihkan sedang giat dijalankan termasuk memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang menggunakan kren sementara kerugian masih tidak dapat dipastikan. –Bernama