TIGA sekeluarga maut, manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 70.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.35 pagi dengan Toyota Corolla dinaiki empat sekeluarga itu dikatakan dari arah Melaka menuju Johor.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Abd Rahim Razali, kejadian berlaku apabila Toyota Corolla terbabit merempuh belakang treler yang sedang memperlahankan kelajuan susulan kemalangan berasingan yang berlaku di hadapan membabitkan Perodua Myvi, sebuah van dan dua motosikal.
“Tiga mangsa berusia 18, 22 dan 51 tahun disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu wanita berusia lingkungan 40-an parah,” katanya memetik laporan BH Online.
Sehingga kini identiti mangsa termasuk hubungan mereka belum diterima.
Mengulas satu kemalangan membabitkan berhampiran lokasi itu, katanya sebuah Perodua Myvi dikatakan cuba mengelak lopak air sebelum berpusing akibat hujan lebat.
Ketika itu, katanya sebuah van dan sebuah motosikal gagal mengelak sebelum merempuh Perodua Myvi terbabit. Sebuah lagi motosikal sempat mengelak.
“Pemandu Perodua Myvi cedera, manakala pemandu van dan penunggang motosikal selamat,” katanya.
Selain BBP Renggam, operasi turut dibantu anggota dan pegawai BBP Ayer Hitam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.