LAUNGAN bubar bergema di Stadium Titiwangsa ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan ucapan sempena pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022.
Situasi tersebut menarik perhatian Ismail Sabri dan terus bercakap mengenai perkara tersebut.
“Saya dengar dengan jelas, ‘top 5’ pun ada di sini, timbalan (Datuk Seri Mohamad Hasan) ada di sini, semua ada di sini. Dalam waktu terdekat kita akan berjumpa untuk bincang (tarikh pilihan raya umum),” katanya.
Kata-kata Ismail kemudian mendapat sorakan Pemuda BN yang secara jelas mahukan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.
“Kalau beginilah semangatnya, sikit lagi…tak lama lagi,” sambung Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, lapor Free Malaysia Today.
Ismail bagaimanapun mengingatkan jentera Pemuda BN tidak terlalu gopoh mendesak PRU diadakan, agar ‘peristiwa hitam’ pada PRU-14 tidak berulang kali ini.
“Yang penting apabila Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan kita mesti menang, itu paling penting. Kalau PRU diadakan dan kita tak mampu, kita akan kembali seperti PRU-14. Jadi, boleh menang,” soalnya.
Ruang stadium yang dibanjiri lebih 10,000 perwakilan Pemuda BN itu kemudian menyahut, ‘Boleh!’.
Himpunan jentera Pemuda BN seluruh Malaysia itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi komponen BN termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pengerusi-pengerusi BN negeri serta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang juga Bendahari BN Selangor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.