KERAJAAN tidak mengetahui sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi memandangkan keputusan itu hanya ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara (BNM), jelas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Seperti negara-negara lain, kerajaan tidak campur tangan dalam urusan menentukan OPR.
“Jadi, secara jujur saya tidak tahu dakwaan sekiranya OPR akan naik lagi,” katanya, lapor FMT.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, terdapat salah anggap kenaikan OPR yang didakwa mengkayakan pihak bank.
“Apabila OPR naik, bank juga kena bayar kaedah faedah lebih tinggi kepada pendeposit,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, OPR negara masih rendah berbanding negara lain yang naik sehingga lebih 200 mata asas.
Menurut Zafrul, ini berbeza dengan OPR negara yang pada tahap 2.5% dengan BNM menaikkan 75 mata asas, sejak Januari lalu.
“Adakah ini tinggi? Saya rasa kalau berbanding dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada separuh tahun pertama sebanyak 6.9% dan suku kedua adalah 8.9%.
“Harus diingati OPR negara sebelum pandemik Covid-19 adalah sekurang-kurangnya 3% sejak 2013. Jadi, masih rendah dan dasar monetari masih lagi akomodatif,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.