Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Gerakan sudah kenal pasti calon PRU-15 -

Gerakan sudah kenal pasti calon PRU-15

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kini sudah bersiap sedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk sudah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding mewakili parti itu kelak.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu sudah mula mempersiapkan diri berdepan PRU-15 secara berperingkat sejak tahun lalu dan kini hanya menunggu pembubaran Parlimen.

Malah ujar beliau, sesi temubual bakal calon yang dirasakan layak untuk mewakili Gerakan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sudah diadakan.

Begitu pun jelas beliau, keputusan akhir calon yang terpilih akan diputuskan dan diumumkan kemudian kerana sesi perbincangan antara rakan komponen di dalam Perikanan Nasional (PN) masih berlangsung.

“Kalau dikira dari segi ‘gear’, kita berada dalam gear terakhir untuk bersiap sedia menghadapi PRU-15.

“Bacaan kita setakat ini mungkin Oktober ini Parlimen dibubarkan dan selepas itu pilihan raya akan berlaku. Jika bukan tahun ini pun, mungkin diadakan awal tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Gerakan yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.

Dalam pada itu Dominic berkata, Gerakan akan tetap memberi peluang kepada calon yang pernah bertanding sebelum ini untuk bertanding semula dalam PRU-15 dengan syarat mempunyai ciri-ciri calon yang ditetapkan.

Ciri-ciri itu jelas beliau, termasuk merupakan calon boleh menang, boleh diterima masyarakat dan mampu untuk membela rakyat.

Dalam perkembangan sama, Tong Keong berkata, Gerakan Pulau Pinang akan meletakkan calon di lebih empat kerusi Parlimen dan lebih 13 kerusi DUN pada PRU-15.

Ujarnya, Gerakan Pulau Pinang juga sudah mengenal pasti isu-isu yang akan diperjuangkan yang dekat dengan penduduk negeri itu termasuk isu perumahan, banjir, kesesakan dan banyak lagi. – SB