Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bapa pelakon remaja ditahan lagi, siasatan kes ugut dan pukul -

Bapa pelakon remaja ditahan lagi, siasatan kes ugut dan pukul

BAPA kandung kepada pelakon remaja perempuan yang ditahan Polis Daerah Klang Utara, semalam, dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di perkarangan IPD Klang Utara pukul 4.10 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tangkapan terhadap suspek berkenaan adalah bagi membantu siasatan laporan polis dibuat oleh bekas isterinya.

“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya bagi memohon reman, esok,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Semalam, media melaporkan lelaki itu ditahan polis Klang Utara bagi membantu siasatan kes amang seksual dan cabul terhadap mangsa berusia 15 tahun terbabit.

Pada 12 September lalu, media melaporkan bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dipetik berkata, mangsa membuat laporan itu pada 8 September lalu.

Sebelum ini, media melaporkan suspek berkenaan ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.