Lelaki ditahan selepas lapan jam larikan gelang emas

0
407

DUA lelaki yang berjaya melarikan tiga gelang emas di sebuah kedai emas di kawasan Tandop, Alor Setar, Kedah semalam berjaya diberkas polis hanya dalam tempoh lapan jam.

Kedua-dua suspek berusia 24 tahun itu ditahan malam tadi selepas berjaya dikesan di kawasan perumahan Perwaja Gurun, Kuala Muda sekitar pada jam 8 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata dua lelaki tempatan itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota risikan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berdasarkan maklumat dan risikan yang diperolehi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek pergi ke kedai emas terbabit sekitar jam 11.30 pagi semalam dan berpura-pura hendak membeli barang kemas.

“Namun kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri bersama tiga gelang emas dari premis berkenaan dan dipercayai menaiki kereta jenis Proton X50,” katanya, lapor BH Online.

Menurut Ahmad Shukri, polis menerima laporan kejadian pada jam 12.30 tengahari dan pihaknya menggerakkan dua pegawai kanan dan 10 anggota, untuk mengesan dan menahan suspek terbabit dalam kejadian itu.

“Polis turut merampas dua daripada tiga gelang emas yang dipercayai dilarikan dalam kejadian itu bersama sejumlah wang tunai.

“Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here