BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam memuji ketegasan Tun S Samy Vellu yang lantang memperjuangkan nasib dan hak masyarakat India sepanjang beliau berada dalam Kabinet.
Musa yang berkhidmat di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 1980-an, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Samy Vellu yang disifatkannya kehilangan besar buat masyarakat India.
“Saya malah boleh memberi jaminan kepada rakan-rakan India saya yang lain, jika anda mahu melihat seseorang dalam Kabinet yang tidak berhenti memperjuangkan kepentingan masyarakat India, inilah pemimpinnya.
“Waktu saya jadi menteri pelajaran, tiap-tiap tahun kita bertengkar. Samy akan keluar dengan senarai dia, berapa peratus pelajar India yang kita terima (memasuki universiti). Tapi saya berpuas hati dengan proses tawar-menawar itu,” katanya lapor FMT ketika menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Malaysia Persatuan Dyslexia Malaysia di Ampang.
Beliau berkata, Samy Vellu menyedari keadaan masyarakat India dan beliau tidak hanya memfokuskan isu pendidikan, tetapi juga sentiasa bersuara mengenai hal ehwal serta kepentingan kaum itu.
“Dia punya ‘argument’ atau ‘representation’ terhadap masyarakat India sangat tegas.
“(Kita) akan merinduinya. Dengan pemimpin sedia ada, saya tidak nampak potensi itu dalam mereka. Mungkin pilihan raya akan datang akan muncul muka baharu.”
Samy Vellu, 86, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, sekitar 8 pagi Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ismail tiba di rumah Samy Vellu di Jalan Ipoh kira-kira 12.30 tengah hari tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Beliau disambut anak Samy Vellu, Vell Paari dan Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.
Terdahulu, Ismail menerusi catatan di Facebook berkata, mendiang memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dan merupakan pejuang serta bapa penyatuan masyarakat India, selain menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
“Banyak sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan Institusi Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.”
Sementara itu, ahli politik dari kedua-dua belah jurang turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Samy Vellu.
Presiden MCA, Wee Ka Siong menyifatkan pemergian Samy Vellu, presiden MIC paling lama berkhidmat dari 1979 hingga 2010, sebagai “kehilangan besar kepada masyarakat dan negara”.
“Jasa dan pengorbanan mendiang Samy Vellu sepanjang menjadi presiden MIC dan menteri akan sentiasa dikenang,” kata Wee dalam catatan Facebook.
Samy Vellu ialah antara menteri yang paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun. Beliau dilantik sebagai menteri kerja raya dari 1983 hingga 1989 dan sekali lagi dari 1995 hingga 2008.
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran menyifatkan Samy Vellu sebagai “pejuang dalam banyak segi”.
“Walaupun kami banyak tidak sefahaman, berada di pihak bertentangan, beliau seorang teman yang baik,” kata naib pengerusi DAP itu di Twitter.
Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Kasthuri Patto berkata, mendiang bapanya, P Patto, “bertembung sengit” dengan Samy Vellu di kerusi Sungai Siput dalam dua pilihan raya, di mana Patto kalah tipis pada kedua-duanya.
“Apabila (Patto) meninggal dunia pada 1995, Samy Vellu memberi penghormatan terakhir kepadanya. Hari ini, saya memberi penghormatan. Bersemadi dengan tenang, Tuan,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu di Twitter.
Samy Vellu, yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974, disingkirkan oleh Dr Michael Jeyakumar Devaraj daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada pilihan raya umum 2008.
Jeyakumar, yang seterusnya mempertahankan kerusi itu pada PRU 2013, berkata Samy Vellu membawa pembangunan bermakna kepada Sungai Siput dari segi jalan raya dan projek perumahan kos rendah Taman Tun Sambanthan.
“(Taman Tun Sambanthan) ialah kawasan perumahan yang agak besar dengan kira-kira 400 hingga 500 rumah yang dibangunkan pada 1980-an. Pada masa itu, ramai orang meninggalkan estet, dan (rumah-rumah) itu mampu milik bagi mereka.
“Saya tidak bersetuju dengan banyak polisinya, tetapi beliau seorang pemidato yang baik, mempunyai personaliti yang kuat, dan gaya yang unik dalam melakukan sesuatu.”
Bekas presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Samy Vellu menjalani kehidupan “dengan sebaiknya dan penuh gemilang” dan beliau “pergi dalam keadaan sangat dihormati dan dihargai”.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.