Pas masih bincang dengan UMNO hala tuju MN

0
255

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

RUNDINGAN antara Pas dan UMNO berhubung kedudukan kedua-dua parti itu di dalam Muafakat Nasional (MN) masih berlangsung selagi Parlimen tidak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga masih mempunyai banyak masa sebelum membuat sebarang keputusan berhubung isu kerjasama di bawah MN tersebut.

Malah ujar beliau, perbincangan juga boleh berlangsung pada bila-bila masa serta tidak bergantung kepada tarikh atau tempoh pembubaran.

“Kita masih ada banyak masa dan saya rasa pembubaran Parlimen belum tentu pada tahun ini, jadi masih ada masa yang panjang.

“Pas juga sedia untuk berbincang dengan mana-mana parti termasuk parti pembangkang.

“Isu ini boleh dibincangkan di semua peringkat tetapi saya bukan ‘Top 5’ dalam parti, namun saya boleh sahkan ada rundingan dan perbincangan yang berlangsung melibatkan pimpinan negeri dan akar umbi ,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Beliau mengulas berhubung usaha Pas untuk menyuburkan kembali MN menjelang PRU-15 selepas UMNO dilihat tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjasama tersebut.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen bukan hanya terletak di tangan Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya melalui persetujuan Kabinet.

“PM perlu membentangkan perkara ini kepada Kabinet bagi menentukan waktu terbaik untuk mengusulkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen.

“Setakat ini, tidak ada lagi memorandum Jemaah Menteri berhubung pembubaran Parlimen,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here