[VIDEO] Moratorium beri ruang PMKS susun semula perniagaan

0
1143

WALAUPUN pandemik sudah berlalu, namun kesan terhadap peniaga kecil terutamanya sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) masih ‘terasa’ dengan keadaan krisis ekonomi negara yang merudum.

Pemilik perusahaan pencuci kerusi kereta Kamicuci.KL, Adib Izham berkata, pelaksanaan moratorium dapat membantu bukan sahaja perniagaannya, tetapi perniagaan kecil lain yang masih ‘terumbang-ambing’.

Beliau yang sudah menguruskan perniagaannya sejak awal pandemik berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila mereka terpaksa menghadapi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ibarat menyekat keuntungan mereka.

“Mungkin bagi orang yang berduit, bergaji tetap tidak perlu sangat. Tetapi untuk orang yang buat bisnes kecil-kecilan itu adalah sangat perlu. Tidak semua orang mampu, setengah orang sangat struggle (bergelut) untuk cari duit. 

Dengan bahan mentah harga naik, cuma itu (moratorium) untuk jangka masa pendek. Ia kelegaan untuk masa yang sekejap,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Beliau diminta mengulas kepentingan pelaksanaan moratorium terhadap PMKS yang kini dihimpit pelbagai dugaan.

Katanya, walaupun perniagaannya masih dalam keadaan stabil, namun perniagaan kecil yang lain masih seakan ‘terkapai-kapai’ menanti peluang untuk mengembalikan perniagaan mereka seperti sediakala.

“Dalam keadaan sekarang, ada setengah bisnes yang masih terkapai-kapai, baru nak stabil tetapi mungkin pemilik kedai naikkan harga sewa. Harapkan perkara ini dapat diselaraskan,” katanya.

Cadangan moratorium khas dibangkitkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hasil daripada perbincangan bersama pemain industri yang kebanyakannya masih bergelut untuk keluar daripada kesan kemelut ekonomi akibat pandemik, dan kini menghadapi pelbagai cabaran baharu termasuk kenaikan OPR.

Ketika dihubungi SatuBerita baru-baru ini, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Ding Hong Sing berkata, banyak usahawan PMKS akan ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak memandang serius pemberian moratorium khas kepada sektor tersebut.

Sambil mengakui cadangan Muhyiddin itu satu langkah tepat, Hong Sing berkata, pemberian moratorium itu merupakan penyelesaian sementara dan kerajaan perlu membuat perancangan jangka panjang bagi membantu sektor tersebut, sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal yang juga pengusaha bakeri Marya’s Kitchen, Maria Ahmad berkata, perniagaannya agak sukar untuk beroperasi buat masa ini, kerana harus mendahulukan duit bagi membuat tempahan kuantiti banyak.

Katanya, jika moratorium khas dilaksanakan, maka ia dapat membantu perniagaannya kembali menerima tempahan kuantiti yang banyak serta dapat pulangan modal, berbanding sebelum ini yang hanya sekadar ‘cukup makan’.

“Bagi yang berkemampuan tiada masalah, kita yang golongan-golongan (perniagaan) kecil ini terkesan juga jika tiada moratorium

“Kadang-kadang ada oven, keperluan (untuk buat kuih) tidak ada. Sekurang-kurangnya kita perlu ada oven yang besar, nak pusing modal, kumpul duit di situ memang tidak dapatlah,” katanya yang sudah beroperasi selama 12 tahun. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here