MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menuntut semua pihak tidak mempolitikkan isu wanita sebagai “suka bangun lambat”, yang tular baru-baru ini.
Beliau berkata, seharusnya semua pihak termasuk pemimpin politik melihat isi kandungan penuh program ‘Wanita Bangkit’ dianjurkan kementeriannya.
“Saya kira dalam waktu sekarang kita jangan nak politikkan semua benda.
“Kena lihat isi kandungan program tersebut. Apa penting ramai (wanita) memerlukan pembelaan dan perlu dibantu,” katanya pada sidang media ketika ditemui selepas melawat dan meninjau kesiapsiagaan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Sungai Buloh dalam menghadapi Monsun Timur 2022/2023.
Beliau juga mengajak Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh atau mana-mana bersama-sama membantu wanita yang memerlukan bantuan.
“Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak bantu kita alu-alukan untuk sama-sama bantu wanita yang memerlukan. Bukan tahu cakap sahaja tetapi tidak melaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Rina dikritik hebat pemimpin pembangkang dan Umno susulan video terbaru menteri terbabit yang dianggap merendah-rendahkan wanita.
Tular video dimuat naik Rina di media sosial, memaparkan pelakon dan usahawan, Rosyam Nor, yang menyebut wanita sebagai “suka bangun lambat”, sambil disaksikan beliau dan pegawainya.
Rosyam, yang mengajak orang ramai menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula semalam, turut berkata akan “membelasah” mereka yang berjumpanya.
Semalam, Hannah yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.