[VIDEO] Perniagaan susah bertahan tanpa moratorium – Usahawan PMKS

0
344

PELAKSANAAN moratorium khas bagi sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) secara tidak langsung dapat meringankan beban serta membantu peniaga kecil untuk kembali ‘bernafas’.

Pemilik perniagaan EMANIS Bahulu, Jamaluddin Osman berkata, jika moratorium khas tidak dilaksanakan, ketahanan perniagaannya mungkin dalam risiko dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjejaskan keuntungan perniagaannya.

Katanya, bayaran gaji pekerjanya seramai 13 orang pekerja serta pinjaman bank sudah menelan perbelanjaan yang banyak bagi perniagaannya untuk terus bertahan dalam tempoh pasca pandemik ini.

“Kalau tak ada moratorium, susah kita nak bertahan dengan gaji pekerja. Susah nak bayar gaji pekerja, dengan moratorium tu dapatlah saya bayar gaji pekerja.

“Saya ada pinjaman kenderaan untuk perniagaan saya. Dengan OPR naik memang jejaskan sedikit sebanyak perniagaan saya,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Selasa. 

Beliau diminta mengulas keperluan moratorium kepada usahawan PMKS yang mewakili hampir 90 peratus daripada persekitaran ekonomi negara.

Cadangan moratorium khas dibangkitkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hasil daripada perbincangan bersama pemain industri yang kebanyakannya masih bergelut untuk keluar daripada kesan kemelut ekonomi akibat pandemik, dan kini menghadapi pelbagai cabaran baharu termasuk kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Pada Isnin ketika dihubungi SatuBerita, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Ding Hong Sing berkata, banyak usahawan PMKS akan ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak memandang serius pemberian moratorium khas kepada sektor tersebut.

Sambil mengakui cadangan Muhyiddin itu satu langkah tepat, Hong Sing berkata, pemberian moratorium itu merupakan penyelesaian sementara dan kerajaan perlu membuat perancangan jangka panjang bagi membantu sektor tersebut, sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

Sementara itu, pengusaha makanan paket Mak Dan Food Technology, Muhammad Hamizan berkata, kenaikan OPR dan harga bahan mentah akan menjejaskan keuntungan syarikatnya.

Katanya, walaupun tempoh pinjaman akan berpanjangan jika moratorium khas itu dilaksanakan, tetapi ia dapat mengurangkan beban perniagaannya buat sementara waktu.

“Macam mana pun durasi dia akan jadi lebih panjang (tempoh pinjaman) dengan moratorium itu, tetapi ia dapat bantu kami secara tidak langsung. 

“Ia membantu dari segi cashflow, sekarang jika dapat moratorium akan kurang (perbelanjaan pinjaman), jadi cashflow (aliran tunai) akan jadi lebih, tetapi ia (pinjaman) akan berpanjangan,” katanya yang mempunyai seramai enam orang pekerja. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here