Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
2 pemimpin UMNO bahagian Pulau Pinang direman SPRM seleweng duit parti -

2 pemimpin UMNO bahagian Pulau Pinang direman SPRM seleweng duit parti

DUA bekas pemimpin UMNO sebuah bahagian di Pulau Pinang direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang milik parti itu bernilai lebih RM600,000 pada 2018.

Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 59 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Difahamkan, kedua-dua individu itu merupakan pengarah sebuah yayasan dan juga merupakan bekas bendahari dan setiausaha sebuah bahagian UMNO di Pulau Pinang.

Kedua-dua suspek itu ditahan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang pukul 8.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek disyaki menyalahgunakan wang milik parti politik berkenaan dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun sebuah syarikat serta yayasan untuk kepentingan peribadi.

Katanya, suspek disyaki menggunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan wang rasuah melalui pengeluaran wang daripada akaun bank milik parti politik untuk diri sendiri.

“Suspek juga memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun syarikat milik mereka serta ke akaun sebuah yayasan,” katanya.

Kedua-dua suspek diwakili peguam, Noorhisham Shaidi dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.