Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

0
589

TIADA sampel produk kicap soya termasuk Kicap Soya Manis dan Sambal Sos Ayam Goreng jenama ABC di negara ini dikesan mengandungi sulfur dioksida berdasarkan pemantauan di semua pintu masuk dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk itu yang ditarik dari pasaran Singapura kerana mengandungi sulfur dioksida tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan, turut diimport ke negara ini. 

“Sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) dikenakan ke atas produk berkenaan di semua pintu masuk negara.

“Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata sulfur dioksida diklasifikasi sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan ia tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan pada kepekatan yang dibenarkan.

Bagaimanapun, sulfur dioksida boleh menyebabkan kesan alergi kepada sesetengah individu yang menghidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan. dan kandungan sulfur dioksida melebihi 10 miligram bagi setiap kilogram hendaklah diisytihar atau dilabelkan.

Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kemusykilan mengenai  isu-isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.facebook.com/bkkmhq.—Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here