PENGURUSAN Pasar Muhibbah di Setia Alam, Selangor nekad memperjuangkan nasib peniaga tempatan demi menambah bilangan pengunjung ke pasar harian itu.
Pemilik Pasar Muhibbah, Alias Karim, 35, percaya akan potensi ‘besar’ pasar itu meskipun baharu beroperasi dua bulan.
“Kita masih cuba memberi hebahan kepada orang ramai dengan cara memberi 200 ‘banner’ (sepanduk) untuk diedarkan sekitar Meru, Setia Alam dan Klang.
“Kita juga sudah buat ‘billboard’ (papan iklan) supaya orang ramai tahu tempat ini adalah pasar awam,” katanya ketika ditemui SatuBerita semalam.
Beliau yang mempunyai pengalaman dalam perusahan runcit bertegas akan sentiasa memperjuangkan konsep pasar ‘peniaga tempatan’.
“Kita takkan benarkan peniaga asing masuk di sini, seratus peratus kita sokong peniaga tempatan. Kadar sewa dikenakan juga sangat rendah berbanding pasar lain.
“Hanya RM300 untuk peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS),RM500 untuk ‘foodcourt’ (medan selera) , RM1,500 untuk perusahan kering dan RM2,500 untuk perusahaan basah.
“Kita juga menyediakan bilik sejuk untuk peniaga simpan stok makanan, surau, tandas selain persekitaran yang bersih,” jelasnya.
Alias juga menyeru penduduk sekitar hadir memberi sokongan kepada peniaga terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
“Banyak promosi di sini, seperti harga sayur sekitar RM1.50 sekilogram, ikan rakyat dibawah RM10, sekilogram serta ayam RM10 seekor” katanya.
“Selain itu, kita turut merancang menambah ‘foodtruck’ (lori makanan), pasar malam, bazar Ramadan untuk rancangan masa depan,” katanya.
Pengunjung, Adib Mokhtar, 26, juga berkongsi waktu perniagaan Pasar Muhibbah yang dibuka sehingga petang memudahkan urusan pembelian barang dapur.
Bagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mira, 25, memuji sikap pekerja yang ramah, tempat letak kereta yang luas dan harga yang berpatutan.
Di samping itu, Amir Ashraf, 26 meluahkan perasaan gembira dalam urusan jual beli di pasar ini.
“Saya setiap hari Ahad datang sini, cari bahan mentah seperti ayam, daging dan ikan. Biasanya di sini orang tempatan berniaga, barang pun murah dan dekat dengan rumah,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial apabila netizen mendakwa Pasar Muhibbah kurang pengunjung dipercayai kurang publisiti selain lokasi yang tidak strategik. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.