Nahas helikopter: Juruterbang warganegara Hong Kong disahkan maut – Ketua Polis Perak

JURUTERBANG yang dilaporkan hilang bersama dengan sebuah helikopter di kawasan hutan di sini pada Ahad disahkan meninggal dunia.

Mayat Tsz Kin Richard Chan, 58, yang juga warganegara Hong Kong dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kawasan Hutan Simpan Chikus, di sini, sekitar pukul 10.12 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ditemukan dalam kokpit helikopter terbabit.

Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memaklumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkenaan penemuan bangkai helikopter yang terhempas di hutan berkenaan.