Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
24 kenderaan nahas akibat tumpahan diesel -

24 kenderaan nahas akibat tumpahan diesel

SEBANYAK 24 kenderaan terbabit dalam kemalangan berpunca daripada tumpahan minyak sepanjang 14 kilometer (KM) bermula dari Bandar Permaisuri menghala ke Penarik, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Razli Rapiae berkata, kejadian itu menyebabkan 11 kereta dan 13 motosikal terbabit dalam kemalangan.

Katanya, mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.02 pagi.

“Seramai 24 anggota bergegas ke lokasi kejadian di Kampung Buruk dengan dibantu BBP Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu, BBP Marang serta BBP Kuala Berang.

“Anggota membuat pembersihan tumpahan minyak menggunakan habuk kayu dan hose reel daripada tiga water tander serta dua water tanker bagi memastikan jalan selamat digunakan pengguna jalan raya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Razli berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dan operasi tamat kira-kira jam 3.40 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan mendapati kejadian bermula dari stesen minyak Petronas Bandar Permaisuri di KM 69 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu sehingga Kampung Bukit Kemudu (KM 71 Jalan Permaisuri – Kuala Terengganu).

“Tumpahan minyak diesel dipercayai dari kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mengisi minyak dalam tong di stesen minyak berkenaan.

“Tong itu diletakkan di bahagian belakang kenderaan yang kemudiannya menghala Kuala Terengganu,” katanya.

Afandi berkata, mangsa kemalangan hanya cedera ringan.

“Setakat ini Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu hanya menerima lima laporan kemalangan akibat tumpahan minyak itu dan masih ada mangsa kemalangan belum tampil membuat laporan.

“Pelbagai agensi kerajaan selain polis antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat Air Terengganu (SATU) membantu operasi membersihkan tumpahan minyak,” katanya.