PRU-15: PEJUANG mungkin letak calon muda bukan ahli parti

0
344

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menimbang untuk meletakkan calon muda yang bukan ahli parti itu di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) .

Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, sebaliknya calon daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam usaha menarik sokongan.

“Sokongan anak muda penting memandangkan senario politik yang berlaku sebelum ini mempunyai banyak kepincangan dan kerosakan dalam parti yang wujud sebelum ini.

“Justeru kita mengalu-alukan sokongan daripada anak muda kerana mereka inilah akan menjadi pewaris kepada negeri dan negara bagi menghadapi senario politik baharu yang memerlukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Jentera Pejuang Tanah Air Parlimen Kubang Kerian, di Kota Bharu, semalam.

Katanya, anak muda hari ini sudah melihat bahawa kerosakan yang berlaku pada negara adalah daripada hasil kerja politik yang kurang baik sehingga menyebabkan masa depan negara terbantut jika hendak dibandingkan dengan negara lain.

“Dalam hal ini, pihak kami sentiasa terbuka dan kemungkinan besar akan meletakkan calon yang bukan daripada wakil parti, tetapi juga mungkin NGO yang datangnya dari kumpulan anak muda yang mempunyai jiwa juang tinggi.

“Insya-Allah kita akan meletakkannya untuk bersama dalam membawa suara anak muda dalam pentadbiran kerajaan. Inilah usaha kita, tidak terikat dengan politik sebaliknya ia terbuka kepada seluruh rakyat tidak kira tua atau muda asalkan Melayu,” katanya.

Marzuki berkata, kriteria calon yang diutamakan adalah yang benar-benar berwibawa serta bersih daripada rasuah.

“Tidak ada guna kalau kita hendak mempamerkan calon yang ‘berserban tinggi’ tetapi amalannya tidak bagus dan kali ini kita mahu adalah kumpulan profesional yang benar-benar mempunyai komitmen tinggi dan sanggup melakukan perubahan demi rakyat Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Marzuki berkata, sehingga kini berdasarkan demografi, pihaknya menyasarkan untuk bertanding di 14 kerusi parlimen di Kelantan dan 45 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU-15 nanti.

“Pada asasnya kita sebagai sebuah gerakan orang Melayu dan kita tahu bahawa kesemua kerusi yang ada di Kelantan ini sama ada di DUN mahupun Parlimen, ia adalah kerusi yang didominasikan oleh Melayu.

“Kemungkinan besar di Kelantan ini kita akan meletakkan kesemua calon kita di semua kerusi di bawah Pejuang,” katanya, lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here