Mayat remaja perempuan ditemukan tersangkut celah batu

0
311

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

REMAJA perempuan yang hilang semasa mandi bersama-sama lima rakannya di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi pagi tadi sudah dtemukan mayatnya di celah batu.

Mayat Nurish Qhalisya Suhailizam yang berusia 13 tahun ditemukan pada pukul 2.37 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa yang berusia 13 tahun itu dilaporkan lemas.

“Mayat dijumpai tersangkut di celah batuan di kawasan lokasi penemuan. Untuk makluman, lokasi kejadian ini ada terdapat kawasan berbatu.

“Mangsa telah dicamkan oleh ahli keluarga dan kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi proses bedah siasat dan operasi mencari serta menyelamat sudah dihentikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari init.

Mangsa telah dicamkan oleh ahli keluarga dan kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi proses bedah siasat

Dalam kejadian itu, selain Nurish Qhalisya, dua beradik, Mohd. Asyraf Syazwan Mohd. Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan kini dibawah pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKT.

Tiga lagi mangsa, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari yang semuanya berusia 13 tahun dilaporkan selamat.

Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan lima yang lain datang ke pantai berkenaan untuk beriadah dan bermandi-manda.

“Mereka yang terbabit dalam tragedi tersebut mendapat izin daripada ahli keluarga dan ketika kejadian, cuaca mendung dan air tenang, namun dipercayai sedang mulai surut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang hadir ke kawasan rekreasi khususnya kawasan pantai, supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan ahli keluarga agar musibah seperti ini tidak berulang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here