Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pecah rumah: Pencuri, pembeli hasil curi ditahan -

Pecah rumah: Pencuri, pembeli hasil curi ditahan

POLIS menahan seorang lelaki berusia 30 tahun Selasa lepas bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Sibu Jaya pada 13 Ogos lepas.

Susulan penahanan pada 11.35 pagi tu, polis berjaya menahan dua lagi lelaki berusia 45 dan 54 tahun di bandar ini yang dipercayai membeli hasil curi daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya merampas kembali kesemua barangan curi merangkumi selaras senapang patah laras tunggal, 12 butir peluru pelbagai jenis, kain pua kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban bernilai RM2,000 milik pengadu.

“Polis turut merampas selaras lagi senapang patah laras tunggal daripada suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian pecah rumah itu berlaku ketika pengadu sedang bercuti di Miri bersama keluarganya.

Katanya pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah di Sibu Jaya dengan penahanan tersebut dan kesemua lelaki itu direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA