[VIDEO] Muhyiddin seru ahli Bersatu jadi contoh budaya politik murni

0
494

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun baru berusia enam tahun, Bersatu telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Presiden Bersatu itu berkata, mereka telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah serta melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan parti tersebut berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhannya.

“Kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya. Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti dan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti seperti mana yang termaktub dalam perlembagaannya, maka Bersatu akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Ulang Tahun Ke-6 penubuhan parti Bersatu hari ini.

Muhyiddin berkata, perjuangan Bersatu termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan memperjuangkan keadilan sosial.

Selain itu kata beliau, Bersatu juga menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah prinsip-prinsip penting perjuangan parti yang terkandung dalam Perlembagaan Bersatu. Prinsip-prinsip ini mestilah diamalkan dan diperjuangkan oleh setiap ahli Bersatu Ahli-ahli Bersatu mesti dikenali dengan prinsip-prinsip ini yang membezakan mereka dengan yang lain,” katanya.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, ahli-ahli Bersatu juga mestilah sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk suatu budaya politik yang murni supaya parti kita dihormati oleh semua. 

Kata beliau, ia penting supaya Bersatu terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti tersebut.

“Sepertimana yang kita semua maklum, pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa. Justeru, saya menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya. Insya-Allah, berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dokongan rakyat dan izin Allah SWT.Bersatu akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here