[VIDEO] Pasar Muhibbah lengang, salah siapa?

PENIAGA di Pasar Muhibbah Setia Alam meluahkan rasa bimbang apabila pasar berkenaan kurang menerima kujungan pelanggan.

Tinjauan SatuBerita sekitar jam 10 pagi tadi mendapati pasar itu agak lengang dan peniaga mengadu sentiasa menanggung rugi akibat kekurangan pelanggan.

Peniaga ayam, Iman Azami, 25, berkata sikap acuh tidak acuh sesetengah peniaga yang tidak hadir untuk berniaga di pasar itu menjadi salah satu penyumbang kepada isu ketiadaan pengunjung.

“Peniaga tidak cukup, pelanggan datang barang tidak mencukupi, lebih baik mereka pergi ke kedai runcit.”Kami terkesan susah nak dapat modal balik, pelanggan jangkakan ayam segar, setiap hari kena beli ayam baharu,” katanya ditemui pada Isnin.

Suasana lengang walaupun pada pukul 10 pagi.

Berdasarkan pemerhatian, peniaga di pasar berkenaan menjual barangan mereka pada harga yang lebih rendah berbanding pasar lain dalam usaha untuk mendapatkan pengunjung yang lebih ramai.

Bagi peniaga sayur-sayuran Abdul Hasrol, 36, kurang iklan dan promosi berkenaan pasar itu juga menjadi faktor kekurangan pengunjung.

“Tiada banyak papan tanda iklan seperti bunting (kain rentang) , sehingga pelanggan datang sini menyangka ia tempat bermain futsal,” katanya yang juga membuat inisiatif mempromosikan perniagaannya di Facebook dan Grab.

“Banyak penjual sayur kerugian kerana tawarkan harga sangat murah contohnya sawi kita jual RM1.50 sekilogram, pasaran luar lebih kurang RM4 ke RM5 sekilogram.

“Agak lengang di sini, dari segi harga memang kami bandingkan dengan ‘PriceCatcher’ aplikasi oleh Kementerian Perdagangan Ddalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), memang agak rendah berbanding sesetengah tempat,” jelasnya.

Gambaran luar Pasar Muhibbah

Selain itu, peniaga makanan laut, Cherish Ong, 40, berpandangan bahawa pihak pengurusan boleh melakukan usaha publisiti dengan lebih baik.

“Beritahu dekat orang ramai parkir kenderaan yang luas, tempat bersih, tidak sempit, peniaga tempatan dan serta kurang risiko jangkitan Covid-19.

“Sia-sia sahaja pasar sebegini bagus kalau tidak ramai pengunjung. Sangat sesuai untuk penduduk di sini, saya harap pasar ini boleh maju,” katanya.

Pengurus Pasar Muhibbah, Jeffri Yusof, 51, memberitahu bahawa antara faktor ketiadaan pelanggan di pasar berkenaan adalah kerana pasar itu baru sahaja beroperasi kembali kira-kira dua bulan lepas.

Jelasnya, pasar itu juga sedang mengikuti jadual operasi baharu yang membenarkan peniaga untuk berniaga bemula 6 pagi sehingga 7 petang berbanding sehingga 2 petang sebelum ini.

“Faktornya kita ada jadual baharu, mungkin berita itu tidak sampai kepada pelanggan. Kedua, baharu dua bulan beroperasi jadi ramai lagi peniaga belum hadir menyewa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai boleh datang dan membeli di pasar berkenaan apabila setiap kedai menawarkan harga yang berpatutan.

“Kami buat begini untuk membantu masyarakat yang terkesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itulah tujuan kita.”Berbanding pasar lain, boleh bandingkan harga di sini sangat murah boleh datang kalau tidak percaya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila netizen mendakwa Pasar Muhibbah kurang pengunjung dipercayai kurang publisiti selain lokasi yang tidak strategik. -SB