9 pelajar didakwa sebabkan kecederaan parah terhadap junior

0
259

SEMBILAN  pelajar dari sebuah sekolah asrama yang ditahan berhubung kes buli, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang pelajar junior pada Jun lepas.

Kesemua pelajar lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan parah ke atas pelajar lelaki berusia 14 tahun di bilik asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Changkat Jong di sini pada kira-kira 12.30 tengah malam, 23 Jun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan manakala kesemua remaja berkenaan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan S. Francis.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 5 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Jun lepas, polis menahan 10 pelajar senior kepada mangsa selepas menerima laporan berhubung kes itu pada hari yang sama.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here