Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
IBU kepada dua beradik yang rentung di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di Johor Bahru, semalam menemukan dua anaknya keadaan berpelukan.
Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, berkata, selepas kebakaran dapat dikawal, dia mula mencari dua anaknya itu sebelum menemukan dua beradik itu dalam bilik tidur rumah mereka.
Dia yang berasal dari Ampang Jaya, Selangor merupakan orang pertama masuk ke rumah tergamam dan merasa teramat sedih melihat keadaan mereka.
“Saya ‘okay’, cuma mula-mula tu saya sedih sebab saya nampak dia kat situ, dia (anak sulung) peluk adik dia. Saya redha, anak-anak saya anak syurga, saya tak risau apa,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa di sini hari ini.

Jenazah Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 dan Nurul Hawa Zafira, 2, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 5.30 petang selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.
Majlis pengebumian itu dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga dari Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
Bapa mangsa pula, Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, ketika ditemui melahirkan rasa lega apabila kedua-dua anaknya sudah selamat dikebumikan.
Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang semalam dua beradik tersebut ditemukan rentung di belakang pintu dalam kebakaran berkenaan semasa mereka tinggal berdua di rumah itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.