MAJLIS Peguam Malaysia bersedia berdepan Datuk Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya berhubung kenyataan media mengenai tindakan mereka dalam rayuan akhir membabitkan kes SRC International Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Karen Cheah, memberitahu FMT, bahawa beliau sudah melantik dua peguam dan telah mengarahkan mereka menerima penyampaian proses.
“Kami secara tegas menafikan segala dakwaan dibangkitkan oleh mereka dan berpegang kepada kenyataan media dikeluarkan (oleh Badan Peguam).
“Kami bersedia berdepan mereka di mahkamah,” kata Cheah memberitahu FMT selepas majlis Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Majlis Peguam Malaysia.
Beliau menegaskan kenyataan media itu mengandungi perkara kepentingan awam, pentadbiran keadilan dan piawaian profesion undang-undang. Ia juga mencerminkan objektif Badan Peguam.
Pada 29 Ogos, Zaid dan dua rakan kongsinya menuntut Cheah memohon maaf berhubung kenyataan dikeluarkan yang mana mereka mendakwa menjadi “libel yang serius” mengenai kelakuan mereka dalam rayuan kes SRC International Najib, di Mahkamah Persekutuan.
Mereka memberi tempoh sehingga hari ini bagi penarikan semula kenyataan dan permohonan maaf, dan kegagalan berbuat demikian akan menjurus kepada permulaan tindakan undang-undang.
Cheah berkata, beliau melantik peguam – Andrew Chiew dan N Nahendran — untuk menjawab surat tuntutan dari Zaid dan rakan kongsinya, kira-kira 3.30 petang tadi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.