Pemandu e-hailing ditahan cederakan bekas kekasih dengan pisau

0
243

Polis menahan seorang pemandu e-hailing selepas disyaki mencederakan bekas teman wanitanya menggunakan pisau di sebuah pangsapuri di Masai di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di pangsapuri berkenaan pada 1 tengah hari susulan aduan oleh seorang pengawal keselamatan yang terdengar jeritan wanita berkenaan, kira-kira sejam sebelum itu. 

Beliau berkata ketika pengadu melakukan pemeriksaan di rumah tersebut, pengadu melihat seorang wanita berusia 34 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan seorang lelaki sedang memegang sebilah pisau. 

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Masai telah menahan lelaki terbabit dan hasil siasatan awal mendapati mereka adalah pasangan kekasih. Mangsa telah memutuskan hubungan yang menyebabkan lelaki berkenaan tidak bersetuju sehingga berlaku pergaduhan antara mereka. 

“Mangsa mengalami luka di bahagian muka, lengan kanan, pergelangan tangan dan luka tikaman di rusuk kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau dan polis turut merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 19 sentimeter termasuk hulu yang dipercayai digunakan dalam insiden terbabit. 

Beliau berkata lelaki itu direman hingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here