RAPID KL pagi tadi memaklumkan bahawa trennya di laluan Ampang-Sri Petaling tidak akan berhenti untuk menurunkan dan mengambil penumpang di Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek.
Dalam ciapannya di Twitter pada 8.10 pagi, syarikat itu memaklumkan bahawa trennya tidak akan berhenti di Stesen LRT Bandaraya “kerana keadaan sekitar stesen sesak dengan pengunjung”.
Lebih kurang sejam kemudian, Rapid KL sekali lagi memaklumkan di Twitter mengenai gangguan perkhidmatan yang sama berlaku di Platform 1 Stesen LRT Masjid Jamek.
Bagaimanapun, Platform 2 kekal beroperasi.
“Atas faktor keselamatan, tren tidak akan berhenti untuk menurunkan & mengambil penumpang di Stesen LRT Masjid Jamek (Platform 1), manakala platform 2 masih beroperasi.
“Kami memohon maaf atas kesulitan,” katanya memetik laporan FMT.
Pengguna LRT yang terjejas meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial, dengan ada yang berasa kecewa gangguan ini berlaku pada hari cuti umum.
Pengguna Facebook, Salinasal Safar berkata, Rapid KL sepatutnya lebih bersedia pada Hari Kebangsaan.
“Rakyat dah (berkobar) nak sambut kemerdekaan, tetapi tersangkut sana sini,” katanya.
Seorang lagi warga net, Qairul Asrie mengadu kepada Rapid KL di Facebook bahawa beliau tersadai di Stesen Bandaraya.
“Dah 10 tren ke Ampang berlalu begitu sahaja tanpa mengambil penumpang,” katanya.
“Ambillah sedikit penumpang untuk legakan keadaan. Orang nak balik, buatlah penilaian risiko betul-betul.”
Membalas komen Qairul, Rapid KL berkata, pihak Rapid Rail Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.