Tujuh warga asing direman bantu siasatan kes bunuh di Jalan Tugu

0
315

TUJUH warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi mambantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata permohonan reman sehingga 5 Sept itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.

“Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here