TPR tarik balik surat mohon hakim utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

0
339

TIMBALAN pendakwa raya (TPR) dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat memohon hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah mengutamakan kes mahkamah Presiden UMNO itu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, TPR, Azmi Malik Ayob, yang juga anggota pasukan pendakwaan dalam kes Zahid, berkata perkara ini kini dianggap tamat susulan penarikan balik surat itu.

“Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di mahkamah. Mari kita teruskan kes ini,” katanya kepada mahkamah.

Sequerah berkata, tiada orang boleh menentukan kes apa yang perlu diberikan keutamaan dalam mahkamah ini.

Dalam surat itu, Malik berkata, beliau diarahkan meminta Sequerah mengutamakan perbicaraan rasuah Zahid berbanding perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri, Najib Razak, yang turut dipengerusikan hakim itu.

“Permintaan ini dibuat bagi memastikan perbicaraan kes (Zahid) yang di peringkat pembelaan boleh diselesaikan secepat mungkin,” menurut surat itu.

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, surat itu boleh ditafsir sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

“Kami berharap perbicaraan ini boleh dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya.

Surat itu dihantar kepada setiausaha Sequerah petang semalam, dengan salinannya diberikan kepada pasukan pembelaan Zahid. Ada yang mempersoalkan kesahihan dokumen itu selepas ia tular di media sosial.

Pendakwa Raya ad hoc untuk perbicaraan 1MDB Najib, Gopal Sri Ram ketika dihubungi berkata, beliau sudah memaklumkan Sequerah pada Khamis lalu bahawa beliau boleh memberi keutamaan kepada kes Zahid.

“Saya memberitahu hakim bahawa kes Zahid di peringkat pembelaan, manakala Najib masih di peringkat pendakwaan,” katanya kepada FMT.

Zahid berdepan 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah atas pelbagai projek ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.

Bekas timbalan perdana menteri itu, yang juga saksi pembelaan pertama, sedang diperiksa balas.

Sementara itu, Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here