Pas buat keputusan muktamad tiada kerjasama dengan PH

0
256

PAS membuat keputusan muktamad tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuiddin Hassan berkata, pendirian itu dibuat mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat, semalam.

“Pas secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU-15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’,” katanya kenyataan, hari ini.

Keputusan Pas itu dilihat secara tidak langsung menjawab kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahu pimpinan parti pembangkang mempertimbangkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15).

Muhyiddin berkata, cadangan itu bukan semata-mata kepentingan politik tetapi pandangan yang disuarakannya itu adalah bagi memastikan masa depan negara yang lebih selamat.

Kata beliau, rakyat bimbang negara akan kembali terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan (BN).

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan, tidak akan ada sebarang kerjasama dengan PN dalam PRU-15.

Takiyuddin dalam kenyataan itu juga memberitahu,  antara perkara lain yang dimuktamadkan dalam mesyuarat itu ialah Pas tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

“Pas amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,’’ katanya.

Selain itu katanya, Pas juga mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

Keputusan itu kata Takiyuddin diambil oleh Pas demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022,” katanya

Mengenai pembubaran Parlimen, Takiyuddin memaklumkan kerajaan negeri yang diterajui Pas juga tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac tahun depan.

Katanya, tindakan itu dibuat atas dasar pertimbangan untuk memberi penumpuan yang lebih perlu kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama dalam bidang perekonomian selain dari kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here