Bayi enam bulan mati dipercayai didera ibu bapa kandung

0
289

SEORANG bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai didera ibu dan bapa kandungnya dalam satu kejadian di Kampung Klang Gate, Ampang Jaya, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bayi tersebut dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tunku Azizah di sini, kira-kira jam 5.30 petang, Sabtu lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri, dikatakan muntah dan mengalami sawan.

Beliau berkata, pemeriksaan susulan yang dijalankan, pengawai perubatan mendapati terdapat kesan lebam di paha dan kening kanan mangsa, dipercayai akibat penderaan.

Katanya, bayi terbabit bagaimanapun meninggal dunia dua hari selepas dimasukkan ke hospital.

“Susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang berusia 34 tahun kira-kira jam 8.40 malam, Isnin di lobi utama tingkat dua, wad Wanita dan Kanak-kanak hospital tersebut.

“Ketika disoal siasat, suspek tidak mengaku membunuh bayi berkenaan, sebaliknya memaklumkan mangsa mengalami kecederaan selepas terjatuh dari katil ketika di bawah jagaannya beberapa hari sebelum dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa lapor Astro AWANI.

Mohamad Farouk menambah, berdasarkan pemerikasaan wanita tempatan yang bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai elektrik di ibu negara itu, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan juga bebas daripada penggunaan dadah.

Beliau memberitahu, polis juga sedang mengesan suami wanita itu, berusia 31 tahun yang merupakan seorang warga Indonesia.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau mana-mana balai berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here