KKM perlu buat keputusan pemakaian pelitup muka – MPN

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka seperti dilaksanakan Kerajaan Singapura bermula hari ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dibangkitkan sendiri olehnya pada mesyuarat petang tadi kepada KKM yang diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Saya sendiri bangkitkan, jika semua sudah okay kenapa nak pakai lagi.

“Dia (Noor Azmi) mengatakan pihaknya akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci. Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia kena buat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, petang tadi.

Muhyiddin berkata, ketika ini juga sudah ada kebiasaan baharu dalam kalangan rakyat mahupun warga asing di negara ini untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa.

Justeru, beliau berkata, jika sudah menjadi kebiasaan, sewajarnya KKM tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka, sebaliknya masih boleh terus digunakan jika penduduk negara ini berasa lebih selamat.

“Kita di MPN hanya memberi pandangan dan saya serah kepada KKM mempertimbangkan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi merancakkan sektor pelancongan negara.

Mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi sektor pelancongan selepas pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu, Muhyiddin berkata, sektor itu antara sektor terpenting dalam memacu ekonomi negara.

“Banyak lagi usaha perlu dilakukan kerana sektor pelancongan adalah sektor yang memacu berbilion ringgit kepada negara.

“Kami sudah dengar pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), maka kami bagi pandangan berbeza dan mahukan tempoh pemulihan pelancongan dipendekkan dari empat tahun kepada tiga tahun,” katanya.