Tertekan pedal minyak, kereta dipandu warga emas rempuh kedai

GARA-gara tersalah tekan pedal minyak, kereta dipandu seorang lelaki warga emas meluncur laju lalu merempuh sebuah kedai telekomunikasi di Hutan Melintang dekat Teluk Intan, Perak pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian sekitar pukul 3.25 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 64 tahun mahu masuk kawasan parkir di hadapan kedai berkenaan.

Katanya, semasa mahu meletak kenderaan di dalam kawasan parkir, lelaki terbabit telah tersalah tekan pedal minyak menyebabkan kereta jenis Honda Accord itu hilang kawalan lalu terbabas masuk dalam kedai.

“Akibat kejadian itu, premis berkenaan mengalami kerosakan termasuk barang dan peralatan rosak kerana dilanggar.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan kepada pemandu dan orang awam yang berada di dalam kedai berkenaan,” katanya memetik laporan Kosmo! pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan dibawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).