Pas perlu perkuat PN, bukan terus ‘kluk klek’ mengenai MN

0
269

guane

SUDAH sampai masanya kepimpinan Pas mencari pendekatan terbaik bagi memperkuatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang disertai bersama parti Bersatu, Gerakan dan dua parti daripada Sabah, iaitu Starr dan SAPP sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ia penting untuk memastikan PN berjaya memperoleh kemenangan besar melebihi majoriti dua pertiga  dalam PRU15 nanti sekaligus dapat memegang tampuk pemerintahan negara.

Sehubungan itu parti Islam tersebut tidak seharusnya terus ‘berkluk klek’ dalam membuat sesuatu keputusan, khususnya membabitkan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Bagi penulis, cukup-cukuplah Pas mengharap dan bercakap mengenai MN sedangkan UMNO sendiri sudah mengatakan bahawa parti itu akan bergerak secara solo pada PRU15 ini.

Tindakan salah menyalah, ungkit mengungkit antara satu sama lain tidak perlu lagi kerana ia bakal membuka pekung di dada.

Tidak payah diungkitkan lagi perkara itu dan tidak perlu lagi dikenangkan perkara yang sudah pun berlalu.

Apa yang penting sekarang ialah bertindak secara matang bagi memperkuat serta memperkukuhkan PN bagi berhadapan gelombang lebih besar dalam tempoh terdekat ini.

Penulis sedikit hairan dengan pendirian Pas kenapa masih lagi mengharapkan kepada orang yang tidak sudi sedangkan Pas sendiri sudah ada ikatan yang sah bersama gabungan lain.

Akibat tindakan itu, jangan pula nanti dikatakan orang seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Memandangkan PRU15 sudah semakin hampir dan banyak parti politik mula mengatur langkah dengan memasang strategi masing-masing, Pas juga seharusnya memberi perhatian terhadap perkara tersebut.

Justeru, langkah terbaik perlu dilakukan ialah memperkemaskan ahli dan parti serta mencari jalan bagaimana cara untuk memancing serta memenangi hati rakyat, iaitu pengundi berdaftar di negara ini.

Bagi penulis, pemimpin Pas juga perlu kurangkan bercakap perkara tidak berfaedah serta elakkan perkataan berbaur provokasi dengan menumpukan kepada kerja-kerja mendekati pengundi.

Pada masa yang sama elakkan daripada menyerang pihak lawan dengan mengeluarkan perkataan kurang enak didengar seperti bodoh dan sebagainya sekalipun ia sebagai perumpamaan.

Sebagai sebuah parti berteraskan Islam, Pas tidak seharusnya terlalu kerap menyalahkan pihak lain sehingga ada ketika seakan terperangkap dengan sifat riak dan takbur.

Seperkara lagi, ketetapan Pas mengenai penggunaaan logo parti pada PRU15 nanti, masih lagi dilihat sebagai ‘kluk klek’.

Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN, Tan Seri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan  bahawa parti gabungan sudah bersetuju untuk menggunakan logo baharu PN.

Bagaimanapun, perwakilan PN dari Terengganu dan Kedah semalam mencadangkan agar lambang Pas dapat digunakan di negeri berkenaan dalam  PRU15.

Perwakilan PN Terengganu, Ariffin Deraman dipetik sebagai berkata, cadangan itu tidak bermakna parti itu tidak menerima lambang PN sebaliknya perlu mengambil kira perbezaan suasana politik antara nasional dan Pantai Timur.

Justeru, Ariffin ketika sesi perbahasan sempena Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulangtahun Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) memohon Kelantan, Kedah dan Terengganu dibuat satu kajian penerimaan masyarakat tentang lambang manakah yang diterima mereka.

Sementara perwakilan PN Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula ketika berucap mencadangkan agar lambang PN dikaji semula dan ditukar warna lain kerana warna biru itu dikatakan menyamai Barisan Nasional (BN), menyebabkan pengundi berasa gatal sehingga tersilap pangkah.

Sehubungan itu beliau meminta warna dan logo PN dikaji semula dan jika tidak diubah pihaknya mencadangkan agar Pas Kedah gunakan logo sendiri pada PRU15 ini.

Apapun, penulis berharap hasrat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan parti itu dalam muktamarnya pada bulan hadapan akan memberikan fokus utama melibatkan perbincangan bagi mengukuhkan PN menghadapi PRU15.

Agar agenda ini bakal menjadi kenyataan kerana PRU15 disifatkan oleh banyak pihak sebagai PRU lebih mencabar dan dikatakan tiada parti politik yang mampu menang majoriti lebih selesa. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here