Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Majlis Tertinggi PN tentukan kerjasama dengan pembangkang masuki PRU-15 -

Majlis Tertinggi PN tentukan kerjasama dengan pembangkang masuki PRU-15

KESEDIAAN Perikatan Nasional (PN) membuka pintu kerjasama dengan gabungan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah untuk mengelak berlaku pertandingan tiga penjuru.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata PN berusaha untuk elak daripada pertandingan tiga penjuru yang membabitkan pertandingan dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) berkata, bagaimanapun keputusan mengenai kerjasama itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.

“Perkara ini (kerjasama dengan parti pembangkang) dibangkitkan oleh perwakilan pada Konvensyen PN semalam dan ia cetuskan sebagai langkah untuk mengelak berlakunya saingan tiga penjuru membabitkan dengan BN pada PRU-15.

“Bagaimanapun perkara berkaitan strategi, rancangan atau kerjasama dengan gabungan mana, semuanya itu akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi PN.

“Itu yang ditegaskan Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam kerana secara prinsipnya PN mahukan kemenangan besar pada pilihan raya ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Ke-47, Wanita dan Pemuda Ke-35 GERAKAN Negeri Sembilan di Seremban 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan GERAKAN Negeri Sembilan, Datuk Choong Vee Hing.

Pada Konvensyen PN di Serdang semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Dominic berkata, parti itu sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 dan sudah melantik Ketua Badan Perhubungan Kawasan sebagai penggerak utama jentera parti di peringkat kerusi Parlimen di setiap negeri.

Beliau berkata, mereka yang dilantik sebagai ketua badan berkenaan tidak semestinya dipilih sebagai calon PRU-15 namun boleh jadi calon jika prestasinya baik.

“Bagaimanapun dari segi calon memang kita sudah kenal pasti dan mempunyai senarai namun mereka yang akan dipilih akan ditentukan kepemimpinan tertinggi PN nanti,” katanya.