Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bukan lumba haram, tapi tunggang motosikal dalam kumpulan besar -

Bukan lumba haram, tapi tunggang motosikal dalam kumpulan besar

POLIS Pulau Pinang menafikan berlakunya kegiatan lumba haram membabitkan beberapa kumpulan motosikal di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Padang Kota Lama seperti yang tular dalam media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kumpulan membabitkan lebih 200 penunggang motosikal dari Johor, Kedah dan Pulau Pinang itu hanya bersantai dan bersiar-siar.

Menurut beliau, pergerakan kumpulan-kumpulan bermotosikal itu turut dipantau sepasukan polis daerah Timur Laut selepas mengesan mereka memasuki bahagian pulau bermula pukul 12 tengah malam.

“Polis telah mengekori pergerakan kumpulan motosikal ini dan mendapati mereka bergerak ke arah Padang Kota Lama dan kemudian memasuki sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

Terdahulu awal hari ini beberapa gambar dan video kumpulan penunggang motosikal itu tular di media sosial dan mendakwa mereka mahu berlumba haram.

Kehadiran mereka mengundang rasa bimbang dan gusar dalam kalangan orang ramai selepas insiden lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 17 Julai lalu.

Dalam pada itu Soffian berkata, polis bagaimanapun menahan seramai 23 penunggang motosikal berusia 16 hingga 25 tahun dan mengeluarkan 48 saman termasuk menyita sembilan buah motosikal atas pelbagai kesalahan.

Kesalah itu menurut beliau, termasuk mengubah suai eksos; tidak mempunyai lesen; tidak mempamerkan plat motosikal; tidak mempunyai cermin sisi dan sebagainya.

“Kumpulan motosikal itu juga didapati menganggu pengguna jalan raya lain kerana menunggang dalam satu kumpulan yang ramai di semua lorong,” katanya.