Saintis temui ‘dunia air’, planet biru dikelilingi lautan

SEBUAH pasukan penyelidik angkasa antarabangsa baru-baru ini menemui sebuah planet berwarna biru yang dikelilingi lautan luas.

Pasukan penyelidikan itu diketuai oleh Charles Cadieux iaitu seorang pelajar PHD di Université de Montréal, Canada dan ahli Institut Penyelidikan Eksoplanet (iREx).

Penemuan planet ‘TOI-1452 b’ itu dianggap sebagai satu penemuan hebat oleh Cadieux kerana ciri-ciri hampir sama dengan planet lautan seperti bulan planet Musytari dan Zuhal yang dilitupi oleh lapisan air tebal.

Foto Université de Montréal

“TOI-1452 b ialah salah satu contoh terbaik untuk planet lautan yang kami temui setakat ini.

“Planet TOI-1452 b mungkin berbatu seperti bumi, tetapi radius, jisim dan ketumpatannya mencadangkan dunia yang sangat berbeza daripada dunia kita,” katanya dalam satu laporan penyelidikan yang disiarkan laman web Udemnouvelles.

Planet tersebut didapati sedikit besar dari saiz dan jisim bumi malah terletak pada jarak di mana suhunya tidak terlalu panas atau terlalu sejuk untuk cecair wujud di permukaannya.

Planet lautan itu terletak hanya 100 tahun cahaya dari bumi, dalam buruj Draco dan mampu menjadi salah satu planet harapan para saintis untuk diteroka.

Penemuan itu berjaya dilakukan dengan penggunaan teleskop angkasa lepas milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (TESS) bagi meninjau angkasa lepas untuk mencari sistem planet yang hampir dengan bumi.