Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Najib tiba di mahkamah, hadiri kes pinda laporan audit 1MDB -

Najib tiba di mahkamah, hadiri kes pinda laporan audit 1MDB

DATUK Seri Najib Tun Razak hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadiri perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Kenderaan membawa bekas Perdana Menteri itu dilihat memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.48 pagi tadi.

Difahamkan Najib menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan juga kenderaan dari Jabatan Penjara, lapor Astro Awani.

Begitupun, cubaan untuk melihat wajah Najib tidak berjaya berikutan kereta dinaiki menggunakan cermin gelap.

Sementara itu, beberapa penyokong beliau juga dilihat berada di luar mahkamah dan melambai ke arah kenderaan tersebut sambil memanggil ‘Datuk Seri’ berulang kali ketika konvoi tiba.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.