Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis KL tumpas sindiket dadah bernilai lebih RM700,000 -

Polis KL tumpas sindiket dadah bernilai lebih RM700,000

POLIS Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM708,900 menerusi Ops Otto.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dipercayai dalang dalam sindiket tersebut.

Beliau berkata, suspek berusia 48 tahun ditangkap dalam dua serbuan di Kuala Lumpur pada Isnin dan kelmarin dari pukul 10 malam hingga 12.35 tengah malam.

Jelasnya, dalam serbuan pertama di Jalan Vista Mutiara, suspek ditahan dengan sejumlah dadah jenis ekstasi dan syabu.

“Sebanyak 1,000 biji ekstasi bernilai RM18,000 dan 123.87 gram syabu bernilai RM12,300 dirampas dalam serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, serbuan kedua dijalankan berpandukan arahan suspek di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil.

“Sebanyak 35,700 pil ekstasi bernilai RM642,600 dan 1.04 kg syabu bernilai RM36,000 ditemui,” ujarnya.

Azmi berkata, sindiket ini telah bergiat aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Siasatan mendapati suspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca utama pendapatan.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Azmi berkata, keseluruhan rampasan dadah ini mampu menampung seramai 39,028 pengguna.