Mohd Yusri dilantik Ketua Polis Perak baharu 

KETUA Polis Perak yang baharu Datuk Mohd Yusri Hassan Basri nekad meningkatkan kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan awam dalam semua aspek di negeri Perak. 

Mohd Yusri berkata beliau amat mudah didekati dan terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai sebarang isu. 

“Saya harap mendapat kerjasama semua pihak terutama berkaitan isu keselamatan supaya rakyat Perak berasa selamat dan tenteram serta hidup dengan selesa. 
 

“Para anggota dan pegawai juga dinasihatkan supaya menjaga integriti dan kewibawaan. Jangan melakukan salah guna kuasa atau penyelewengan kerana menjejaskan imej pasukan polis,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Khas di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Ipoh Perak hari ini. 

Mohd Yusri, 52, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Polis Pahang menggantikan Datuk Mior Faridlathrash Wahid yang bersara wajib pada awal bulan ini. 

Beliau menerima tugas daripada Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris yang memangku jawatan itu disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Mes Pegawai Kanan di Ipoh semalam. 

Mohd Yusri yang berasal dari Teluk Intan memulakan perkhidmatan dalam pasukan sejak 1991 dan sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan antaranya pegawai penyiasat, Ketua Polis Daerah Bentong dan Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong. 
 

Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, Acryl Sani dalam ucapannya pada majlis serah terima tugas semalam berkata, pelantikan itu dibuat secara bijaksana setelah mempertimbangkan kredibiliti dan daya kepimpinan dimiliki Mohd Yusri untuk menggendong tanggungjawab yang diamanahkan tersebut. -BERNAMA