Proton Waja ‘terbang’ rempuh empat kenderaan

0
440

ADEGAN persis filem aksi, seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh empat buah kenderaan dalam kejadian di Jalan Batu Berendam, Melaka semalam.

Mangsa yang berusia 35 tahun itu dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan dan mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Peringgit menghala ke Batu Berendam.

“Setiba di lokasi kira-kira pukul 2.30 pagi, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sehingga melanggar paip air di sebelah kiri jalan, lalu terbabas merempuh sebuah motosikal yang diparkir di kawasan berkenaan.

“Kereta itu kemudian terbalik di atas bumbung tempat letak kenderaan kilang Central Cable sebelum jatuh menghempap sebuah Proton Wira dan dua Honda City yang diparkir di situ,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Tambah Christopher, polis telah mengambil sampel darah pemandu bagi ujian alkohol dan pengaruh dadah.

Mengulas lanjut, Christopher berkata kemalangan tersebut tidak membabitkan mangsa lain manakala siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here