Negara luar beri reaksi positif kes Najib – Saifuddin

0
229

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC oleh Datuk Seri Najib Razak adalah bukti sistem kehakiman negara masih berintegriti tinggi, bebas, telus dan menjamin keadilan.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, negara-negara luar melihat keputusan tersebut sebagai sangat positif dan beranggapan kerajaan Malaysia kini benar-benar berusaha memerangi rasuah dan tidak mencampuri urusan badan kehakiman.

Kata Saifuddin, kesan positif juga terhadap pelabur-pelabur asing yang akan mempengaruhi keyakinan mereka terhadap suasana pelaburan di negara ini.

 “Keputusan jelas sekali menunjukkan yang sistem kehakiman kita adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh politik atau mana-mana kuasa yang lain sedikit sebanyak ia membantu imej Malaysia di persada antarabangsa.

“Bagi penganalisis ekonomi dan perdagangan ini penting termasuk juga bagi bakal-bakal pelabur kerana mereka hendak lihat sejauh mana negara ini mempunyai sistem kehakiman yang boleh mereka percayai kalau mereka datang ke sini. Manalah tahu sekiranya mereka pun ada isu yang nak dibawa ke mahkamah ini antara benda yang didebatkan sebelum ini,” katanya lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di Kuantan hari ini.

Dari sudut lain kata Saifuddin, kes ini juga menyentuh ahli Bersatu kerana Presidennya pernah dipecat ekoran lantang mempersoalkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagi Saifuddin, memerangi rasuah perlu diperjuangkan oleh semua pihak sama ada daripada parti-parti politik, NGO mahupun daripada individu walaupun prosesnya memakan masa.

“Sedikit sebanyak dia menyuntik semangat kepada ahli-ahli Bersatu untuk teruskan perjuangan dan di samping itu kepada rakyat Malaysia juga ini adalah suatu tanda yang sangat-sangat signifikan bahawa kita tidak boleh jemu dan tidak boleh takut untuk menegakkan kebenaran dan keadilan menghapuskan rasuah dan menegakkan integriti serta menamatkan politik wang,” katanya lagi.

Pada 2015, Najib pernah menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika skandal 1MDB di puncak perhatian dan turut dipecat daripada Kabinet adalah Mohd Shafie Apdal yang juga mempersoalkan isu 1MDB ketika itu.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International sebayak RM42 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here